Wednesday, January 21, 2004
"TRIBUT SEORANG SAHABAT"
"Sampai bila kau nak segan ngan aku? Tolonglah... kita bukan kenal sehari dua Pi,"
"Aku bukannya apa. Aku segan ngan perempuan,"
"Perempuan lain aku peduli apa. Ini dengan aku, aku tak boleh terima," Saya tarik nafas dalam- dalam. Wajah anak muda di hadapan saya, saya perhati baik- baik. Manis bergula. Saya akui, Hanafi memang pemalu terutama dengan saya. Saya lebih- lebih lagi. Saya juga ada rasa segan. Tapi rasa segan itu saya campak jauh- jauh. Saya tak mahu kawan saya ini semakin menjauh daripada saya. Saya tidak punya ramai kawan. Saya masih menarik muka panjang. Hanafi tersenyum- senyum. Seakan mahu memujuk tetapi tidak tahu bagaimana mahu dimula.
"Nanti, kalau aku keluar ngan kau, marah budak kat rumah aku tu nanti," saya mendengus perlahan. Terbayang tampang lelaki berkereta merah itu. "Susah aku nak berjawab nanti,"
"Kau jugak yang mintak aku jangan jadi kakak ipar kau kan?" saya menduga. "Janganlah bagitahu satria merah tu yang aku nak naik wira hitam," saya berkias. Hanafi membuah tawa. Saya suka benar membahasakan dua beradik itu dengan jenama kereta mereka. Si abang bergaya dengan satria Merah, si adik melaram dengan Wira Hitam. Saya? Menapak, menumpang kenderaan awam.
"Bila lagi kau nak belanja aku? Teruklah kau ni, sepuluh juta kali gaji dah, aiskrim sebatang pun kau tak pernah belanja aku," saya makin giat menembak. Dia cuma tersenyum. Tidak terusik dengan kata- kata saya.
"Janganlah buat aku serba salah. Susahlah dengan kau ni... kau tak faham"
"Kedekut,"
"Bukanlah... kau tak faham... susah..."
"Apa yang aku tak faham?"
"Susah aku nak cakap... kau takkan faham..."
__________________________________________________________________
Saya seorang sahabat yang kehilangan. Bercerita bukan untuk meraih simpati. Saya melahirkan sebuah penyesalan. Sebetulnya bukan penyesalan. Penyesalan lahir atas dasar ketidak redhaan. Saya cuma mahu bercerita. Bercerita supaya saya akan lebih menghargai nilai persahabatan. Saya dibesarkan disebuah perkampungan yang tidak diganggu pembangunan yang melampau. Kampung yang hanya terdiri daripada beberapa buah rumah. Terletak dipinggiran bukit. Dihadapannya, tebentang luas tapak bendang sawah yang baru- baru ini diusahakan semula petani moden. Saya membesar sebagai anak gadis. Dikelilingi oleh kawan- kawan yang hanya beberapa kerat. Bemain lecak sawah, bergelumang dengan busuknya susu getah. Bercempera disungai yang airnya hanya separas peha seorang dewasa. Di situlah bermulanya hidup berkawan- kawan saya.
Pantang pulang, saya akan mendaki anak bukit menyusur jalan tar menuju rumah teman baik saya. Dahulunya, anak gadis giat, kini sudah beranak dua. Hubungan kami tidak pernah putus. Terusik, koyak, tapi lama- lama bertaut semula. Saya tak punya ramai kawan. Sahabat apatah lagi. Yang ada inilah saya perlu hargai.
"Dikpi masuk hospital kau tau?" ujar ibu muda itu dalam bual kami. Saya mengeleng. Dikpi panggilan kami pada seorang lagi kawan saya. Sebetulnya bernama Hanafi. Kami pernah rapat. Pernah bergaduh bersama, pernah sangat- sangat membenci, namun rasa sayang itu tidak pernah hilang. Semenjak saya melanjutkan pelajaran di ibu kota dan dia juga meneruskan pengajiannya di selatan, saya tidak lagi berkomunikasi baik dengannya. Berselisih, sekadar menghulur senyum. "Tengoklah, kalau rajin esok aku pergi lawat dia kat hospital," kata saya. "Kau nak lawat dia?" saya mengangguk. "Sejak bila pulak kau baik ngan dia?" "Aku kata kalau rajin," saya membalas.
Dia tidur lena ketika saya hadir. Masih awal waktu melawat. Saya letakkan buah tangan di atas meja. Saya belek majalah yang bertaburan di hujung kepala katil.
"Kau nak lawat aku atau nak baca majalah?" suara sedikit serak menganggu saya. Saya menghulur senyum. "Dah lama kau bangun?" Hanafi mengengsot badan . Saya bangun membantu. "Dah lama sampai? Kenapa tak kejutkan aku?" "Kau sedap sangat tidur, tak sampai hati nak bangunkan," saya menyelak langsir. Membenarkan sedikit cahaya menerobos masuk. Saya cuba berlagak biasa. Jujurnya, saya tidak betah duduk berdua dengannya. Saya lihat Hanafi juga begitu. Mungkin serba salah dengan lawatan mengejut saya. Saya melawat sebagai kawan. Sebagai sahabat. Dia juga menerima kedatangan saya sebagai kawan dan sahabat. Seorang jururawat menjengah muka. Menghulurkan makanan. Hanafi tampak malu- malu. "Cantik." Komen saya. "Seganlah nak usha, aku macam ni," Hanafi faham maksud saya. "Belasah saja, dengar cerita kau baru putus cinta, sebab tu kau langgar belakang kereta orang tu," saya mengusik. "Hahaha... pandai- pandai buat cerita. Kereta tu yang himpit motor aku," "Salah kau yang tak hati- hati, nasib baik umur panjang" saya memintas. Hanafi sedikit terkial mahu bangun. "Nak pergi mana?" "Basuh sudu," "Makan lah pakai tangan," "Sakit," "Mengada- ngada, sini sudu tu," saya mencapai sudu dihulur Hanafi. "Tolong suapkan," Hanafi mengusik. Saya meluah tawa besar. "Sudah! Kalau tak boleh suap sendiri, tak payah makan!" Saya menemannya makan. Berbual. Mendengar cerita. Mengungkit semula kisah di zaman anak- anak. Ternyata dia banyak tahu kisah saya...
"Aku tak tahu apa yang bawak kau ke sini, tapi aku harap kau tak lupakan kawan- kawan macam dulu," Hanafi menegur ketika saya minta diri untuk berundur. "Kalau aku lupa kawan. Aku tak berdiri depan kau sekarang ni," "Pegang kata- kata kau," Dia mengingatkan. Saya menyuruh dia tidur. Kain selimut saya tarik menutup kaki. "Makan ubat, nanti kau boleh cepat keluar,"
Kepala saya pening, kerja sekolah menghimpit kepala. Saya rasa tertekan. Pensyarah pandang rendah dengan hasil kerja saya. Kawan- kawan sibuk dengan kertas kerja yang berlambak. Teman lelaki yang saya rasa mula mengabaikan. Saya bawa diri pulang ke kampung. Di kampung lebih banyak ketenangan. Tidak ada Midvalley, tidak ada KLCC, tidak ada GSC atau TGV. Saya rasa lebih aman. Saya mendaki lagi. Menyusur jalan ke rumah sahabat. Saya temui dia di situ. Dengan badan berisi, dengan tangan berbalut. Saya lihat dia seperti monster. "Sakit- sakit pun masih merayap rumah orang. Tak ada anak dara dalam rumah ni, pergi balik," giat saya padanya. Hanafi tersenyum dengan usikan saya. "Kau pun, menyemak rumah orang buat apa? Bukan ada anak bujang dalam rumah ni," Kata- katanya saya balas. Dia tidak mahu kalah. Teman saya si ibu muda meninggi suara. Menghentikan tuduh- menuduh kami. "Macam anjing ngan kucing. Eloklah tak berbaik macam dulu, tak payah gaduh," saya ketawa senang. "Bukan gaduh lah cik kak, mesra alam," Kami berbual di pangkin ditemani anak- anak. Hanafi membuka kain balut menunjuk pada kami kecederaan tangannya. Saya rasa ngilu melihat besi berceracak tersembul di muka daging. "Tak sakit?" soal ibu muda. "Gila kau tak sakit, besi ceracak dalam badan" saya menjawab mewakilkan. Hanafi diam dalam senyum. "Dah tolong balut balik, tadi gatal sangat nak tengok," saya menolak. Takut bercampur ngilu. Si ibu muda mengeleng kepala. Juga seperti saya. "Wei... tolong arr... tadi kau jugak yang beria benar nak tengok, suruh aku bukak, balutlah balik. Karang kena jangkitan kuman karang," Hanafi menghulur kain balut pada kami. Si ibu masih lagi dengan pendirian. Saya? Dalam takut saya beranikan diri. Mata, saya arah kelain. "Apa yang kau balut? Tak kenalah..." saya beranikan diri. Kuatkan semangat. Asal terbalut sahaja. Asal jangan dimasuk kuman. Bak kata Hanafi, "Gagal jadi jururawat,"
Kehidupan saya di kampus di saat- saat akhir memang tidak indah. Teman lelaki saya pulang dari kejauhan membawa sedikit seri. Kehadirannya menyenangkan saya. Tetapi secara jujurnya, kehadirannya disisi menyedihkan saya. Menyusahkan hati saya. Saya akan ditinggalkan semula. Itu yang paling saya tidak gemar. Saat- saat menunggu hari untuk ditinggalkan memang menyakitkan. Dalam senang, dalam suka, saya rasa kecil hati tanpa sebab. Saya yakini, teman lelaki menyayangi saya bersungguh- sungguh. Saya pasti. Saya rasa kasih sayangnya dalam setiap hela nafas. Saat teman lelaki berlepas dengan pesawat, saya berhempas pulas meyiapkan kerja akhir saya. Saya ajaibkan diri meyiapkan segala. Saya tidak betah lagi menjadi pelajar di kampus ini untuk setahun lagi. Saya berusaha walau semangat saya tidak menjulang. Saya rasa lemah. Tapi saya paksa diri menjadi kuat. Saya tidak mahu jatuh walaupun saya sudah nampak gaung menanti saya di hadapan.
Menongkah alam penganggur tidak seburuk mana kalau saya dilahirkan dalam golongan anak hartawan. Ibu saya cuma seorang suri rumah, ayah pula bekas seorang pengawal keselamatan. Walaupun kehidupan di kampung, perbelanjaan serba kurang tapi kuasa wang tetap di hadapan. Saya perlu kerja. Menampung perbelanjaan diri saya. Emak saya manusia yang dikhianati suami. Ayah saya lelaki yang sebaik- baik manusia. Kadangkala saya keliru. Tatkala bangun seawal pagi, suara mak dan ayah berantakan. Suara mak lebih nyaring memerintah. Ayah yang penat bersabar adakalanya naik juga. Saya di tengah- tengah akan kepenatan. Saya perlukan seseorang. Teman lelaki menyuruh saya bersabar. Dugaan saya itu kecil berbanding orang lain di luar sana. Saya lebih beruntung berbanding teman lelaki yang sedang tercari- cari ayahnya sendiri.
Alam tidak bekerja saya tidak lama. Saya menjadi seorang guru di sebuah kawasan pedalaman. Menarik untuk dikisahkan. Saya punya anak murid yang menghormati dan menyayangi saya. Saya bersyukur punya pekerjaan tapi saya rasa bersalah kerana saya tidak ikhlas. Saya meluahkan rasa hati pada teman saya yang sudah menjadi ibu pada dua anak. Si ibu menenangkan saya, Menasihati saya. Saya kisahkan pada seorang kawan. Kawan menunjukkan saya denai dan jalan. Untuk lalui, saya yang perlu menebas sendiri. Saya rasa tidak keseorangan. Saya jadikan guru sebagai tapak kehidupan saya seorang perempuan. Masalah orang tua saya anggap satu cabaran. Masalah mereka tidak patut saya jadikan beban. Kata Hanafi. "Kau bertuah, orang lain tak lalui apa yang kau lalui. Aku tak berpeluang bercerita seperti mana kau boleh bercerita,"
Meninggalkan alam guru, menjejakkan kaki ke dunia korporat. Saya bekerja dikelilingi manusia- manusia yang mendongak langit. Saya kerdil dikelilingi gergasi- gergasi besar. Teman lelaki semakin sibuk dengan tanggungjawabnya. Saya rasa kecil hati. Emak dan ayah menarik nafas lega. Sudah punya sedikit keyakinan yang saya sudah boleh dilepaskan. Mak dan ayah seolah- olah mahu saya dilepaskan terus. Mahu saya cepat- cepat bekeluarga. "Semua mak ayah macam tu, tambah- tambah lagi kau dah ada kerjaya, dah boleh menyimpan. Lagipun kau dah ada calon." Saya mengukir senyum. Mendengar kata- katanya. "Kau lagi lama kerja dari aku, tak ada pun mak kau bising- bising suruh cari orang," "Mana kau tahu mak aku tak bising, aku ni yang menanggungnya," terlepas tawa saya ketika mendengar keluhannya. Saya fikir saya seorang didesak begitu. "Susah- susah sangat kau datang pinang aku," saya menggiat. Hanafi melepas tawa besar. "Tak nak, kau tak pandai masak," "Mana kau tau aku tak pandai masak?" Duga saya. "Budak duduk asrama dari kecik, mana pandai masak," Dia menyindir. Saya rasa diperkecil- kecilkan.
"Aku dengar kau nak jadi kakak ipar aku" terasa dentum dalam kepala. Saya memusatkan pandangan ke wajahnya. Akhirnya meluah tawa. "Kau nak ke beriparkan aku?" "Janganlah... dekat sangat," "Dekat sangat atau, kau tak sanggup tengok aku naik pelamin dengan Satria Merah tu?" "Tak ada kena mengena langsung," "Tak payah risau, aku pun tak berminat dengan satria merah tu, tapi kalau Wira Hitam... aku sangat mengalu- alukan," "Apa kau gelarkan kami?" "Si abang Satria Merah, si adik Wira Hitam, kan nampak gagah tu," Hanafi mengeleng kepala.
Lekat gelaran si abang Satria Merah.
Ramadhan bakal menjelang. Saya rasa sudah bersedia. Saya menghubungi emak di kampung. Berhajat menyulung tarawikh dan puasa di rumah. Emak mengalu- alukan. Saya pulang berteman. Kebetulan rumah Hanafi menganjurkan kenduri. Saya dijemput. Tak salah saya memenuhi jemputan. Kedatangan saya mengundang kontraversi memandangkan saya membawa teman secantik Datin Sarimah. Di tenung lama seakan Azizah Ariffin personaliti TV3. Teman saya menjadi perhatian. Saya senyum melihat telatah anak muda kampung yang terintai- intai. Menjadi rajin secara tiba- tiba. Berebut- rebut menawar diri menjadi budak penanggah mengangkat panta dulang, mengambil peluang menjengah dapur. Si satria Merah dan Wira Hitam tidak terkecuali. Selesai majlis, saya meringankan tulang. Membantu mengemas ala kadar. Menyinsing lengan mencuci pinggan. Jam murah yang saya beli di Petaling Street, saya sangkutkan di tepi tingkap. Teman saya yang jelita terbongkok- bongkok di hujung dapur menyusun pinggan mangkuk dan si pemuda bergilir- gilir menghulur sambil mencuri- curi pandang. Hanafi memberi isyarat mata.
"Hmm" (kalau nak cubalah sendiri)
"Hmm" (seganla... kau tolonglah...)
"Hmmm" (tak hingin aku, kau nak kau cubalah)
"Hmmm" (yelah yelah, tak boleh tolong kawan langsung)
Hanafi menjeling. Saya ketawa perlahan. Menyembunyikan rasa geli dalam hati.
Malam itu saya senang hati. Teman lelaki dari kejauhan menelefon saya. Saya rasa berbunga. Kecil hati saya hilang tiba- tiba. Saya tidak lagi menyimpan rasa marah. Senang benar hati saya dipujuk setelah sekian lama memendam rasa. Sebetulnya bukan salah teman lelaki saya itu. Saya sahaja yang tidak mahu memahami. Tahu akan kesibukkanya yang sedang memikul tanggungjawab. Tanggungjawab pada diri dan keluarganya. Yang bakal menjamin masa depan dia dan keluarga. Mungkin juga masa depan saya. Kalau dia ditakdirkan menjadi pelindung saya.
Saya gelabah. Jam tangan saya hilang. Emak membebel. Betul… jam itu murah. Tapi saya sayangkan jam itu. Jam itu unik. Sangat unik pada mata saya. Puas saya selongkar segala. Jam yang hilang masih tak jumpa. Saya teringat sesuatu. Saya hubungi Hanafi, bertanya. Alhamdulillah, jam saya elok terletak di dapur rumahnya. Saya yang terlupa ambil sesudah membasuh pinggan malam itu.
Matahari menggalah pagi, Hanafi menjengah diri ke rumah saya. Memulang hantar jam saya yang tertinggal. "Lepas ni tinggalkan rantai ke cincin ke, boleh jugak aku hantar pajak gadai," saya melepas tawa besar. Dengan baju tidur gombang itu, memang cukup untuk mebuatkan lelaki depan saya ini enolak sepuluh kali jika saya menawar diri menjadi isteri. Along saya membelek belek motor TZM milik sahabat saya itu. Seperti ada keinginan untuk mencuba. Dengan perut boroi, rambut beruban Along saya bergaya dengan TZM berwarna jingga. "Macam orang tua gatal lah Long, tak sajak," komen saya. Hanafi ketawa besar. Mungkin bersetuju dengan kata- kata saya. Along buat tidak peduli. "Pi, nanti balik raya kau jemput aku ye? Aku rasa macam tak dapat cuti," "Kau telefonlah aku, kalau aku ada, aku jemputlah. Seremban ke KL?" "Ishh... bertuah nak jemput sampai KL nu. Kat Seremban jek. Takut nanti aku tak dapat bas malam raya. Kau jemput aku tau," "Ingatkan aku," "Janji," "Ye lah... tapi ingatkan aku,takut lupa, puasa pun belum, sibuk- sibuk nak fikir raya," "Perancangan masa depan. Kau apa tahu?" Saya meningkah. "Ni dengan baju tidur, sah baru bangun," "Lama dah la... tengah sarapan," "Sarapan apa pukul 11?" "Belum pukul 11 lagila" "Rejected jadi bini aku," "Ahhh!! Tak inginpun jadi bini kau," "Kalau aku cakap kat Satria Merah pun, sure reject gak ni," "Tak heran... eii... pergi baliklah! Sibuk- sibuk datang rumah orang, kutuk- kutuk plak," "Anak dara tak senonoh," "Eii... Ini la peluang kau nak tengok natural beauty tau," "Hahahhaha!!" saya tarik muka panjang. Hanafi masih gelak besar depan saya. "Confirm rejected," "Bencilah kau," "Hahhahha!!!" Saya melangkah cepat- cepat. Hanafi masih gelak besar. Mak saya tertinjau- tinjau dari dalam rumah. Saya kepal penumbuk. Menyampah!
Ibadah puasa saya jalani tenang. Pada awalnya letih. Alah bisa tegal biasa. Saya mula mengira- ngira sampul duit raya. Bukan zamannya lagi saya menerima. Saya sudah bekerja. Anak buah bukannya seorang. Tak cukup dua tangan. Awal saya mohon cuti dan seronoknya bila diluluskan. Hanafi saya hubungi. "Aku masuk ward balik," "Memanjang masuk ward je kau ni, accident lagi? Langgar apa pulak kali ini?" "Tak... sakit buah pinggang aku tu la..." "Orang tua pun tak keluar masuk, kau pulak lebih," saya menggiat. "Aku nak bagitau, aku cuti awal, tak jadi balik malam raya," "Baguslah tu, tak lah menyusahkan aku nak jemput kau," "Hahahahaha... bertuah, kau ward berapa? Mana tahu kalau rajin aku nak melawat kau," "Kau nak balik ke?" "Balik kot, kakak dan abang aku nak balik, nak bukak puasa ramai- ramai di rumah," "Baliklah... lama gak tak jumpa kau ni," "InsyaAllah, makan ubat tau bik, nanti raya kat hospital," saya mematikan talian. Terdengar suara Hanafi seakan mahu membalas. Saya ketawa sendiri. Tahu dia mahu membidas saya.
Kakak dan abang menyuruh saya pulang. Saya sebetulnya memang kuat hati untuk pulang. Saya tidak terlalu bersungguh untuk berbuka puasa bersama mereka. Dalam kotak fikiran saya, mahu melawat sahabat yang terbaring dengan tawa ria di hospital. Sebetulnya sahabat saya itu tidak sakit lahiriahnya. Cuma dia perlu pemerhatian doktor. Saya pulang selepas waktu pejabat. Kakak menjemput saya di terminal bas. Saya sudah cukup manja untuk pulang sendiri. Sudah diajar berjemput. Emak dan abah nampak ceria. Rumah saya meriah dengan anak- anak kecil berlari larian. Hampir semua ahli keluarga saya berkumpul. Ruang rumah menjadi sempit. Lupa sebentar niat saya mahu menjengah seorang sahabat. Hujan agak lebat. Niat untuk bertarawikh di surau tidak kami teruskan. Solat sahaja di rumah. Telefon bimbit saya berbunyi. Tertera nombor telefon Hanafi. 'Tembak saja pandai' getus hati saya. Saya buat tidak peduli.
Katilnya kosong. Kipas masih berpusing. Air di dalam cawan baru luak beberapa teguk saya kira. Masih suam- suam kuku. Saya keluar. Mencari- cari tampang tubuh lelaki yang sememangnya susah lekat dikatil itu. Saya hubunginya dengan telefon. Curi- curi. Sebetulnya di hospital, penggunaan telefon bimbit tidak dibenarkan sama sekali. Sudah pasti saya bukan manusia yang terlalu mengikut peraturan.
"Tak reti nak lekat, orang sakit buat cara sakit," saya menghambur kata dimuka pintu. Tidak dengan salam atau ucapan yang baik- baik. Hanafi tersenyum memandang saya. Tidak marah. Saya menghulur buah tangan. "Makin sakit aku, kau tegur macam tu," "Bukan salah aku, kau yang tak reti nak lekat dekat bilik sendiri, kelas satu kau ya?" "Bukan aku yang bayar, kompeni," "Teruk sakit kau? Banyak kali keluar masuk hospital," "Taklah teruk, boleh lagilah kalau nak suruh aku berlari main kejar- kejar," "Nah! Untuk kau. Kau kata bosan," saya menghulurkan dua buah buku kesayangan saya. Tulisan Prof Hamka dan Noordin Hassan. "Bosanlah cerita cinta macam ni," "Baca dulu... baru tau cinta atau tak," Saya lihat badannya naik mendadak. Hilang manis wajah. Sembap. "Macam monster, gergasi gemuk," saya mengejek. Hanafi campak bantal hospital pada saya. Saya memanjat hujung katil. Katil hospital sedikit tinggi saya kira. Duduk bersila. Hanafi memandang wajah saya lama. "Untung ada kau, ada juga awek datang melawat," saya membalas dengan cebik. Wajah itu nampak sayu. "Tapi tu la... hmm... Satria Merah tau tak kau datang lawat aku?" "Dia tau aku balik, tak tahu aku datang. Takkan semua benda nak cakap pada dia, bukan laki aku pun" Hanafi senyum penuh makna. Saya tahu, Hanafi mahu menggiat saya dengan abangnya.
Saya sengih mengejek. "Gemuk!" "Sihatlah... sedap sikit," "Gemuk macam badak air," saya mengejek lagi. Hanafi buat tidak peduli. "Semalam Ratna datang," "Ramai awek kau, aku cemburu. Kalau aku tau tadi, mati hidup balik aku tak datang," saya berpura- pura merajuk. Membelakangkan sahabat yang duduk bersila menghadap saya. "Mengada- ngada," saya masih lagi diam. Menyembunyikan senyum yang mahu terbit. "Bukan awek aku lah... tunang orang tu... kau ni," "Betul? Tak tipu?" "Betul... dah nak kawin pun lepas raya ni," saya membuah tawa. Saya tahu. Sekadar suka mengusik. Ratna juga kawan saya meskipun tidak rapat. Tentu sekali saya tahu yang dia tunangan orang. Kembali berhadapan. "Takut juga kau ya, aku merajuk," "Mestila..."
Saya melihat sekeliling. Pemandangan luar dari tingkap bilik agak indah berbanding tempat lain. "Ina..." saya memandang wajahnya. "Kau jadi makwe aku, sudi?" Saya ketawa besar. "Tak kosong, sudah berisi," "Aku tau... kau dah cakap dulu. Tapi dia tak di sini," "Aku setia. Baru nak belajar setia. Jangan ajar aku buat jahat," saya memberi amaran. "Aku cuma nak menumpang sikit je. Tak banyak masa nak cari orang lain," "Tak banyak masa apa pulak. Nak mati sangat dah ke?" Perli saya. Hanafi senyum manis. Rasa gula. "Tak la... nanti dia balik sini, mesti kau sibuk dengan dia. Sementara dia jauh ni, kau jadilah awek aku. Boleh ya?" "Gila, tanaklah layan kau," "Bolehlah... dalam dada aku ni ada banyak kasih sayang... tak tahu nak curah pada siapa, kau je yang ada sekarang, bolehla ya?" "Apa- apa je la... tapi nanti Satria Merah tahu macam mana?" "Dia tak tahu kalau kau tak bagitahu, aku cuma nak seorang awek. At least sebelum aku pergi jauh" "Cakap macam tak ada tuhan," saya rasa nak marah. "Kalau aku mati. Kau sedih tak?" "Ahhh!!! Bencilah kau." "Rasanya macam tak sempat je tengok kau kahwin nanti," "Ala... kau memang tak sanggup nak tengok aku naik pelamin ngan orang lain kan? Kan? Kan? Kau suka aku kan?” Saya mengusik. Majalah di tangan saya pukul ke kepalanya. "Aku bagi hadiah in advance ya? Aku bagi hadiah sebuah kasih sayang yang tulus ikhlas dari seorang sahabat. Dan kenangan untuk kau ingat sampai mati ya?" Saya mencebik bibir.
"Aku sayang kau sebenarnya," saya pandang wajah itu dalam- dalam. Terkesima. Tak percaya. "Jangan rasa berat dengan permintaan aku. Bolehkan aku sayang kau?" Saya mengukir senyum. "Tak sudah- sudah. Dah desperate sangat? Sampai aku pun jadi?" Saya rasa dipermainkan. Saya tahu dia suka bergurau. "Aku tak main- main. Aku tak desperate, cuma dulu aku tak ada kekuatan nak bagitahu kau. Sekarang aku pasrah. Sebelum aku pergi, aku nak mintak sikit ruang daripada kau," "Eiii... bodohlah kau nih, copy paste ayat buku. Kata tak layan buku cinta," Hanafi senyum. Tapi saya perasan kehambarannya. Saya rasa kelakar. Sebetulnya saya tak pernah menghadapi situasi ini dalam alam realiti. Teman lelaki pun tidak pernah meluah kata- kata berbait seperti itu.
Hafiz menjengah muka. Saya menutup tawa. "Lama kau sampai?" ajunya. "Baru tak baru, adalah setengah jam kot kan?" Hanafi mengangguk. Setuju. Hafiz menghulur majalah pada abangnya yang bersila didepan saya. Majalah- majalah kereta. "Kau beli ni nanti Na," Hanafi mengunjuk saya sebuah model kereta import. Saya mencebik bibir. Bukan murah harganya. "Nak beli basikal pun tak mampu. Kereta lagi kan lah," Hafiz ketawa besar. Setiap kata Hanafi saya bidas. Saya suka melawan. Kadangkala saya membidas perkara yang betul. Saya yang salah. Tapi saya tetap tidak mahu kalah. Hafiz lebih banyak mendengar dari menyampuk. Sememangnya Hafiz agak pendiam.
"Rajin pulak kau melawat kat hospital ya? Kat rumah tak pernah pulak kau nak jengah muka," Saya ketawa geli hati dengan soalan hafiz yang muda setahun daripada saya. “Nak mampus? Rumah kau tu, empat anak bujang, aku ni, gadis pujaan desa, ada harapan aku jadi empangan kolam ikan kau nanti," Hanafi mengeleng kepala dengan jawapan saya. "Raya pun kau tak pernah sampai," "Kenduri hari tu aku datang," "Ha... itu je la... sebelum- sebelum ni mana ada," Hafiz mempertikaikan kehadiran saya di hospital. "Mak kau tak suka aku," saya menjelaskan. "Mana ada... mak aku suka kau apa..." Hanafi menafikan kata- kata saya. Saya menjungkit bahu. Memang itulah yang saya rasa. Ibu mereka tak pernah menyukai saya. Saya anak gadis ligat. Tak pandai berkain sarung. Suka berjalan sebilang petang mengadah jalan kampung. Anak gadis desakah kalau begitu lagak saya? Panjang sungguh cebik bibir bila melihat saya di celah dahan langsat berlebih tinggi duduk diam daripada abang saya. Saya tahu, ibu mereka tak pernah menyukai saya. "Kalau Satria Merah suka, mak mesti suka," Hafiz mengejek saya. Saya jenggilkan mata. Memandang Hanafi. "Lek la... kami dua kamceng, no rahsia- rahsia," "Tak senonoh, umpat abang sendiri," omel saya. "Lagi tak senonoh kutuk pakwe sendiri," Hafiz mencelah. "Aku tak nak dialah..." "Tak cakap apa- apa," "Ala... aku tau kau nak kenakan Satria Merah tu dengan aku. Tak suka lah..." Saya menarik muka panjang. Dua beradik itu tersengih- sengih membuat saya rasa sakit hati. Saya lebih rasa sakit hati melihat Hanafi yang juga sama mentertawakan saya dengan adiknya. Baru sekejap kata sayang pada saya. Hipokrit! "Ala... janganlah kecil hati... aku tau kau dah ada yang lain. Saja suka- suka nak usik," Kata- kata Hafiz sedikit menyenangkan saya. Satria merah tak tahu apa- apa. Mereka berdua yang berlebih- lebih. Kalau teman lelaki saya tahu. Saya nahas.
Duduk di kelas pertama, membolehkan saya duduk bertendai lama. Jururawat tidak menghalau keluar. Mungkin juga disebabkan hujan diluar menyebabkan mereka tidak terlalu bertegas. Hanafi tampak riang. Hilang bosan dengan kedatangan kami. Sesekali jururawat datang mengingatkan Hanafi yang saya lihat riang melampau. "Suka sangat, malam nanti mengadu sakit," jururawat berumur itu mengomel dihadapan kami. "Ala..." "Apa ala- ala," Hanafi buat muka sedih. Saya dan Hafiz hanya diam memerhati. "Ini ke budaknya?" jururawat memandang saya atas bawah. Saya rasa tidak sedap diperhati begitu. Hanafi senyum. Saya tidak faham dengan senyuman itu. Mungkin mengiyakan. "Nasib baik kau datang, kalau tak... muncung budak ni boleh diikat- ikat daripada semalam," usik jururawat. Hanafi ketawa besar. "Memang janji nak datang semalam, tapi tak sempat," saya menjawab jujur. "Lenalah tidur malam ni, buah hati datang jengah," usik jururawat itu lagi. Saya memandang Hanafi minta penjelasan. Hanafi menjungkit bahu. Hafiz mula memandang saya. Jururawat tidak jadi menukar tirai apabila Hanafi menahan. "Jauh saya import ni kak, pembantu rumah baru, suruh dia je tukar langsir," saya mencebik. Kaki yang terdedah, saya cubit kuat. Hanafi menyeringai sakit. "Aku mati nanti, kau juga yang susah hati nanti, layanlah aku baik- baik," "Tak hingin. Kau jahat," "Eii... kutuklah aku... nanti... tau lah... bila aku dah tak ada..." "Cepat! Tinggal pesan, mana tahu nanti tak sempat jumpa," saya mengusik. "Tak apa, nanti kau baca aje wasiat khas untuk anak pakcik Hamid. Aku nak buat wasiat pelik- pelik untuk korang, supaya korang ingat aku," "Kau ni... janganlah... takut pulak aku bila kau cakap macam tu," "Aku ni tak lama Na..." Saya pandang wajahnya tajam. Memberi amaran supaya dia tidak meneruskan repekan. Hafiz pandang wajah saya sangsi. Mungkin berasa sesuatu. "Dia selalu macam ni. Kat rumah pun selalu cakap melalut- lalut," Hafiz berbisik perlahan di telinga saya.
Hujan reda, saya dan Hafiz minta berundur. "Makan ubat tau bik, nanti raya kat hospital," pesan saya. "Aku nak jalan jauh raya nanti, kau nak ikut?" "Mana?" "Mana- manalah," Saya menarik selimut menutupi kakinya. "Puasanya tak, raya nak lebih- lebih," saya mengusik. "Bukan tanak puasalah... tak boleh..." "Alasan..." "Pergi panggil doktor, tanya," saya ketawa. Seronok mengusik. "Rehat elok- elok ya," "Sayang jugak kau pada aku," "Kau kawan aku," "Tapi aku sayang kau lebih dari tu," "Aku tahu," "Kau tak tahu..." "Dah... tidur baik- baik," saya tatap wajahnya. Saya rasa sayu. "Tengok aku baik- baik. Nanti kau akan rindu aku," usiknya. Saya hanya senyum. Hafiz kembali menjengah muka. Mungkin menunggu saya yang tidak muncul- muncul. "Aku sayangkan kau," Perlahan suara itu saya dengar. Saya cuma mengangguk. Hafiz di muka pintu masih menunggu.
"Dikpi cakap apa kat kau tadi?"
"Tak ada apa- apa," saya menutup cerita. Kami bersaing pulang. Hafiz dengan motor TZM milik abangnya. Saya menuju pondok bas.
Kerja di pejabat membosankan. Saya mengambil kesempatan menyalah gunakan harta pejabat. Menghubungi Hanafi. Bertanya khabar. "Aku dah keluar hospital," "Baguslah tu," "InsyaAllah nanti start kerja balik macam biasa," "OK, nak tanya itu je, ehh... nanti balik raya jemput aku ekk... kat terminal," "Kata, dapat cuti awal," "Memanglah, tapi gatal nak mintak kau jemput jugak, nak bawak barang banyak, malas nak naik bas," "OK, ingatkan aku nanti, aku tengah drive ni," "OK. Drive baik baik," saya matikan talian. Telefon saya berbunyi. Hanafi. Apa lagi ni? "Hello," "Lupa nak cakap. Sayang kau," talian dimatikan dihujung sana. Saya senyum sendiri. Apa- apa saja sahabat saya ini. Saya rasa pelik. Saya kenal dia bukan setahun dua. Bertahun tahun. Tak pernah dia memberi tanda- tanda yang dia menyukai saya. Malah sewaktu di zaman anak- anak, kami kerap bergaduh. Dia panas baran. Dia garang. Saya pula degil. Saya anak manja. Dia anti saya. Satria Merah pula sering mempertahankan saya. Dia sering kalah kalau dengan saya. 'Back up' saya sangat besar. Abang saya. Abang dia. Juga kawan- kawan lain. Atas tiket 'saya seorang budak perempuan'.
Saya ajak teman yang jelita berbuka puasa sebelum bercuti raya. Saya wajibkan dia muncul di pasar raya itu sebelum waktu berbuka. Saya pula yang memungkiri janji. Saya sampai setelah orang lain kenyang makan juadah perbukaan. Teman yang jelita mempamer muka masam. "Cuka pun tak masam cam kau," "Laparlah mecik, aku tak sahur pagi tadi," "Alas perut dulu, kita makan lepas maghrib ekk," saya memujuk. Dalam marah dia bersetuju. Teman saya ini tidak mudah kecil hati. Selepas solat Maghrib, berasak- asak dengan ramai orang disurau, kami menuju restoran yang menyajikan masakan negara jiran. Kami makan dengan puas. Kenyang. Rasa sengkak. Kenyang yang terlalu. Berbual dan berbual. Mengumpat. Saya teringat pada teman lelaki di kejauhan. 'Berbuka apa dia di sana?' Dia berbuka lebih meriah daripada saya. Sempat juga saya membeli hadiah untuk kakak saya yang bakal menyambut hari lahirnya.
Sebelum tengah malam, saya sudah duduk bersantai- santai bersama beruang kesayangan. Pemberian teman lelaki. Telefon tangan saya berbunyi. Tertera nombor asing. Saya menyambut talian. Mendengar suara dari sana, saya dapat menduga. Senyum. "Boleh ya?" "Sanggup jadi yang kedua?" "Daripada tak diterima langsung," "Kalau sanggup, tak apalah... jangan salahkan aku kalau aku tak memberi layanan," "Asalkan kau sudi menerima, dah cukup baik buat aku," "Hahhaha. Tak tahannnn... macam drama swasta," "Kau memang tak ada hati langsung pada aku?" "Jujurnya tidak," "Sikit pun?" "Pi... kita kawan dari kecil Pi... sayang aku cuma sahabat," "Kalau aku pergi jauh daripada kau, kau akan ingat aku?" "Aku sayang kau Pi, sejauh mana kau pergi, aku tetap ingat dan sayang kau," "Aku nak pergi jauh, nanti kau ingatlah kenangan kita," saya senyum sendiri. Saya fikir Hanafi demam. Menghubungi saya ditengah malam. Meminta saya menerimanya dalam hidup saya. Saya senyum sendiri. Teringat pada teman lelaki. Saya tidak berniat mendua- tigakannya. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya tidak menolak. Hati kecil saya menyuruh saya menerima tanpa berfikir. Dia kawan saya. Mungkin dia kesepian. Tidak punya teman wanita untuk berkongsi. Saya hanya pelepas. Batu tumpangan. Jumpa orang lain, saya tidak lagi menjadi tumpuan. Asal sahaja tak merubah rutin hidup saya. Tidak merubah perasaan saya pada teman lelaki.
Seawal pagi itu, Satria Merah menghubungi saya. Saya yang sedang berbaring- baring melayan anak mata mejawab panggilan."Dik... dikpi dah sampai hukum," "Long, cakap apa ni? Jangan buat lawak pepagi ni" "along tak memain, Dikpi dah meninggal. Along dalam perjalanan nak balik kampung," "Along... janganlah memain," "Ini adik along, takkan along nak memain" Hanif sudah teresak. Kedengaran tangis. "Along.. janganlah nangis," "Kalau kau nak jumpa dia, balikla..." talian putus di hujung sana. Saya pegang telefon. Sedar- sedar, air mata saya melurut laju. Saya pergi bilik air. Basuh muka dan ambil wudu’ lalu membaca yasin. Saya kemas barang. Mencapai apa yang tercapai. Saya telefon emak di kampung. Mengesahkan pemergian seorang sahabat. Bertanya pendapat, perlukah saya pulang. "Baliklah... cepat sikit, takut tak sempat lawat jenazah," Saya masih tidak percaya walaupun air mata sudah seperti hujan.
Alhamdulillah, perjalanan saya sangat lancar. Cuma lampu merah adakalanya menggusarkan hati saya. Ketika saya sampai, jenazah baru sahaja selesai dimandikan. Lutut saya lemah. Saya rasa tidak mampu berdiri. Saya bersandar di pinggir pagar. Mengawal air muka. Tapi tidak berjaya. Air mata mengalir laju. 'Aku nak pergi jauh raya ni' 'Ingat kenangan kita' 'Kau akan rindu aku' terdengar- dengar suaranya di telinga saya. Hanif menegur saya. Saya senyum. Menyembunyikan kesedihan. Tapi air mata saya tidak mampu berbohong. Hanif yang saya gelar Satria Merah, kelihatan sangat murung. Matanya merah kesedihan. Pandangan saya kabur. Digenangi air. "Arwah pergi pagi tadi, nazaknya waktu sahur," "arwah ni baik budaknya, muda lagi dah pergi," "Arwah..." orang keliling berbicara. Saya dengar dengan tidak. Saya tidak ada kekuatan melihat jenazah di dalam. Hafiz menggamit saya. Saya tabahkan hati, kuatkan semangat. Melangkah penuh debar dan gusar. Jenazah yang berbalut kain putih itu saya tenung. 'Tengok aku baik- baik, nanti kau akan rindu aku'
Saya bacakan Yassin dalam payah. Saya kuatkan semangat. Tapi jiwa saya lemah. Saya tak mampu melihat wajah tenang yang kaku terbaring depan saya. Saya masih terasa dia duduk bersila di hadapan saya. Bergurau berlawan cakap. Saya tidak percaya tetapi batang tubuh berbalut kain putih itu kaku terbaring dihadapan. Saya pasrah. Saya tinggalkan orang lain. Saya berundur. Saya tidak kuat untuk berhadapan dengan jenazah. Saya seakan menyeksa. Menyeksa arwah kerana tidak redha dengan pemergiannya dan menyeksa diri saya sendiri dengan kenangan saat- saat akhir bersama sebelum dia meninggalkan saya. Si ibu muda, teman baik saya seakan sangat memahami. Melihat saya dengan wajah yang tidak sukar saya tafsir. "Bersabarlah, redhakan pemergiannya"
Saya menghadiri pengebumiannya. Saya rasa perit setiap kali tanah itu menimbusi tampang tubuh seorang sahabat. Saya perlu redha. Dia kembali pada Pencipta. Kelemahan saya, saya tidak kuat. Orang lain melihat saya dengan tanda- tanya. Saya tidak peduli. Mereka tidak tahu kenangan. Mereka tidak menilai persahabatan. Mereka akan berkata sinis. Saya bukan ahli keluarga. Saya bukan sesiapa. Kenapa saya pula yang terlalu menyesali sebuah kehilangan. Saya tidak berniat menarik perhatian sesiapa walaupun saya perasan, dengan mata merah, Hafiz memandang sinis pada saya. Bagai mengesyaki sebuah perhubungan yang dirahsiakan. Saya menangisi pemergian seorang sahabat. Seorang teman rapat. Seseorang yang membesar bersama- sama. Bukan kerana dia pernah menghulur kasih pada saya. Kerana kasih itu tidak pernah mekar. Tidak sempat untuk mekar. Tak mungkin mekar. Mereka yang lain bersurai. Saya masih tegak memandang tanah yang membusut. "Terima kasih kerana pernah menempatkan aku dalam hati kau, aku ingat kenangan kita,"
Terlalu banyak janji yang tidak tertunai. Dia terlalu banyak menabur janji. Janji- janji supaya saya terus mengenang. Kini, saya mula berfikir. Arwah terlalu banyak mengalah dengan saya di saat akhir pemergiannya. Selalu mengucapkan kata- kata sayang pada saya. Mengingatkan saya supaya tidak melupakan kenangan. Mengungkit zaman anak- anak yang lebih banyak riang. Lebih banyak menghulur senyum daripada membidas kata- kata saya. Terlalu banyak arwah meninggalkan tanda- tanda untuk saya bersedia dengan pemergiannya. Sayang, saya buta tuli. Tidak terfikir langsung yang saya akan menghadapi sebuah kehilangan. Seorang sahabat. Seorang teman. Seorang rakan. Seseorang yang menyayangi saya.
"kesimpulan saya mudah saja kamu.. kan wujud awak kamu di dalam hati kamu, seperti wujud dia saya di hati saya. dia adalah tempat saya mengadu bermanja, tak kira bila mengapa dan bagaimana. dia kan telah bersedia untuk semua itu? saya seorang tidak tertanggung..percayalah.. begitu juga kamu..
kawan kamu hilang kamu terasa kehilangannya..itu kerana kawan itu pernah ada dalam hati kamu. ruang yg hadir mengisi kehadirannya dalam hati kamu tidak kan terisi dengan benda lain. ruang itu kan terus kosong.. tidak terisi mungkin selamanya.."

Comments:
Post a Comment